MAS Akan Ditutup





MH17 Bloomberg hari ini melaporkan kemungkinan Malaysia Airlines (MAS) dinyahsenaraikan susulan kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17.

Dua tragedi itu lapor Bloomberg, berkemungkinan besar akan menoktahkan riwayat MAS sebagai syarikat senaraian awam.

Lapornya, pilihan yang ada buat MAS sekarang adalah menswastakan syarikat itu sehinggalah kepada mengisytiharkan kebankrapan.

Kedua-dua pilihan itu memerlukan MAS dinyahsenaraikan, laporan itu dipetik.

Bloomberg turut memetik penganalisis Maybank Mohshin Aziz yang berkata MAS kini tidak punya banyak masa lagi.

"Belum pernah ada syarikat penerbangan yang terpaksa mengharungi dua tragedi besar dalam jangka masa empat bulan," katanya.

Dagangan saham MAS ditutup pada harga 20 sen semalam. Khazanah yang merupakan syarikat milikan kerajaan, memiliki hampir 65 peratus kepentingan dalam MAS.