
INDUSTRI penternakan lebah Malaysia digemparkan dengan serangan serangga perosak, Black Soldier Fly (BSF) atau nama saintifiknya Hermetia illucens yang menyerang koloni lebah kelulut.
BSF berasal dari Amerika dan mulai merebak ke Eropah, Australia, India dan Asia termasuk Malaysia selepas Perang Dunia Kedua.
Peringkat larva BSF boleh dimanfaatkan kerana larva BSF boleh makan sehingga 15 kilogram (kg) sisa organik sehari manakala BSF dewasa hanya berperanan untuk mengawan serta bertelur.
Di luar negara, BSF diternak secara komersial sebagai sumber protein bagi ternakan. Begitupun, cuaca panas yang berpanjangan baru-baru ini telah menyebabkan BSF mencari tempat pembiakan yang lebih kondusif.
Antara tempat yang disukai ialah di dalam sarang kelulut yang mempunyai sumber makanan iaitu madu dan roti lebah.
Pengurusan kawasan penternakan yang tidak bersih juga boleh menyebabkan BSF mudah tertarik kepada kesan madu, propolis dan roti lebah pada sisa log kayu semasa proses topping dilaksanakan.
Serangan BSF ke atas 1,200 koloni lebah kelulut mula dikesan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada penghujung Jun 2016. Setakat ini, dianggarkan jumlah kerugian adalah sebanyak RM1.2 juta.
Serangan BSF bukan sahaja dapat dikesan pada koloni lebah kelulut yang lemah tetapi juga koloni yang kuat. Satu-satu koloni boleh musnah dalam tempoh dua minggu selepas BSF bertelur di dalam koloni.
Tanda paling mudah untuk mengesan serangan BSF adalah apabila terowong masuk lebah kelulut menjadi kering secara tiba-tiba dan propolis yang memenuhi kotak topping menjadi seakan-akan reput serta berkulat hingga merebak masuk ke dalam log.
Serangan dianggap berada pada tahap kritikal apabila kelihatan larva BSF memenuhi sarang lebah kelulut manakala kantung madu dan roti lebah pecah serta terdapat larva di dalam kantung.
Pencegahan awal perlu dibuat bagi mengelakkan serangan ini berleluasa. Antara langkah pencegahan yang boleh dibuat adalah pemerhatian yang kerap dan menyeluruh ke atas koloni lebah kelulut.
Sekiranya koloni lebah kelulut yang diternak telah diserang, penternak perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan koloni tersebut.