Showing posts with label musnah. Show all posts
Showing posts with label musnah. Show all posts

BSF Amerika Serang Madu Kelulut Malaysia


INDUSTRI penternakan lebah Malaysia digemparkan dengan serangan serangga perosak, Black Soldier Fly (BSF) atau nama saintifiknya Hermetia illucens yang menyerang koloni lebah kelulut.
BSF berasal dari Amerika dan mulai merebak ke Eropah, Australia, India dan Asia termasuk Malaysia selepas Perang Dunia Kedua.
Peringkat larva BSF boleh dimanfaatkan kerana larva BSF boleh makan sehingga 15 kilogram (kg) sisa organik sehari manakala BSF dewasa hanya berperanan untuk mengawan serta bertelur.
Di luar negara, BSF diternak secara komersial sebagai sumber protein bagi ternakan. Begitupun, cuaca panas yang berpanjangan baru-baru ini telah menyebabkan BSF mencari tempat pembiakan yang lebih kondusif.
Antara tempat yang disukai ialah di dalam sarang kelulut yang mempunyai sumber makanan iaitu madu dan roti lebah.
Pengurusan kawasan penternakan yang tidak bersih juga boleh menyebabkan BSF mudah tertarik kepada kesan madu, propolis dan roti lebah pada sisa log kayu semasa proses topping dilaksanakan.
Serangan BSF ke atas 1,200 koloni lebah kelulut mula dikesan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada penghujung Jun 2016. Setakat ini, dianggarkan jumlah kerugian adalah sebanyak RM1.2 juta.
Serangan BSF bukan sahaja dapat dikesan pada koloni lebah kelulut yang lemah tetapi juga koloni yang kuat. Satu-satu koloni boleh musnah dalam tempoh dua minggu selepas BSF bertelur di dalam koloni.
Tanda paling mudah untuk mengesan serangan BSF adalah apabila terowong masuk lebah kelulut menjadi kering secara tiba-tiba dan propolis yang memenuhi kotak topping menjadi seakan-akan reput serta berkulat hingga merebak masuk ke dalam log.
Serangan dianggap berada pada tahap kritikal apabila kelihatan larva BSF memenuhi sarang lebah kelulut manakala kantung madu dan roti lebah pecah serta terdapat larva di dalam kantung.
Pencegahan awal perlu dibuat bagi mengelakkan serangan ini berleluasa. Antara langkah pencegahan yang boleh dibuat adalah pemerhatian yang kerap dan menyeluruh ke atas koloni lebah kelulut.
Sekiranya koloni lebah kelulut yang diternak telah diserang, penternak perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan koloni tersebut.

Bom Kedua Dimusnahkan Di Bukit Bintang






Kuala Lumpur: Letupan bom yang mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan 13 individu lain di Bukit Bintang di sini, hari ini tiada sebarang kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) sebaliknya serangan bermotifkan dendam.
Walaupun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah bertindak tegas terhadap kegiatan IS di negara ini termasuk menangkap tiga rakyat kita yang cuba ke luar negara untuk menyertai kumpulan militan itu, siasatan awal mendapati insiden letupan bom itu berpunca daripada perselisihan faham.

Polis juga mengesyaki serangan bom di hadapan sebuah pub di Sun Complex Off Jalan Bukit Bintang itu dilakukan oleh lebih daripada seorang pelaku.

Dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, sekumpulan lelaki melontar dua bom tangan mengakibatkan seorang joki kenderaan maut manakala 13 orang lagi cedera ketika pengunjungnya berusia 36 hingga 51 tahun mahu meninggalkan premis berkenaan.
FotoANGGOTA unit pemusnah bom bersedia meletupkan bom tangan kedua. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Bagaimanapun, sebutir bom yang dibaling itu tidak meletup mengelakkan lebih banyak kecederaan atau kematian dalam kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Dr Gan Kong Meng, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira lima minit selepas kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi polis mendapati 12 lelaki dan dua wanita yang berada di situ cedera dengan seorang daripada mereka parah.

"Siasatan awal mendapati bahan letupan itu dipercayai dibuang dari tingkat dua kompleks berkenaan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan untuk mengenal pasti pelaku selain menyemak latar belakang mangsa untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan dan Kakisan dan 302 Kanun Keseksaan.

"Kita percaya bom tangan itu dibawa masuk dari negara luar," katanya memberitahu, sebutir bom yang tidak meletup ditemui di bawah sebuah kereta Toyota Camry diletupkan oleh unit pemusnah bom PDRM di lokasi kejadian, kira-kira jam 12.35 tengah hari ini.



Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PDRM akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian letupan itu.

"Saya akan meminta PDRM mengeluarkan kenyataan lengkap mengenainya selepas siasatan lengkap dilakukan. Saya fikir operasi dan siasatan kes akan diserahkan kepada polis," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan KDN, di Putrajaya. - METRO