“Sebelum popular, Aaron pernah buat macam-macam kerja. Dia pernah
menjadi pelayan restoran, bekerja di pusat boling, jurujual kereta dan
insurans,” kata Diyana Halik, 32, isteri yang juga pengurus aktor
popular Aaron Aziz, 38.
Menurut Diyana, selain terpaksa berjauhan dengan isteri dan
anak-anak, Aaron juga pernah tidur dalam kereta yang bagaikan ‘rumah
keduanya’ ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencuba
nasib dalam bidang lakonan dulu.
“Aaron juga sukar berpisah dengan anak-anak hinggakan saya terpaksa
bersusah payah turun naik bas dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk
mengubat kerinduannya pada mereka.
“Sebab itu apabila orang kata dia cuba menyekat periuk nasi orang
lain di sini dan macam-macam lagi cerita negatif mengenainya, saya amat
sedih,” katanya.
Aaron Aziz dan isteri yang juga pengurusnya, Diyana Halik.
Kejayaan dikecapi bintang filem Ombak Rindu dan drama bersiri Adam
dan Hawa itu juga bukan datang bergolek, sebaliknya dia bermula dari
bawah dan bekerja keras membina nama selama beberapa tahun di negara
ini.
“Walaupun sudah popular lebih awal di Singapura, Aaron tetap ingin
mengembangkan karier seninya di Malaysia, sekali gus mengubah nasib kami
sekeluarga,” katanya.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz dilahirkan pada 23 Februari 1976 di Pasir Ris, Singapura.
Anak kepada pasangan Allahyarham Aziz Salim dan Juriana Jaafar, 63, ini ialah anak ketiga daripada empat beradik.
Hasil perkongsian hidup dengan Diyana selama 11 tahun, mereka
dikurniakan tiga anak iaitu Danish Anaqi, 10; Dwi Ariana, 8, dan Dahlia
Arissa, 4.
Wartawan RAP, Ramlah Zainal (ramlah@hmetro.com.my) menemu bual
insan paling rapat dalam hidup Aaron iaitu Diyana untuk mengimbas siapa
sebenarnya Bintang Paling Popular, pada Anugerah Bintang Popular Berita
Harian (ABPBH) 2011 dan 2013 ini dan pembabitan awalnya dalam bidang
seni.
Mula berlakon dalam produksi bapa saudara Diyana
Menurut Diyana, dia mula berkenalan dengan Aaron ketika sama-sama
terbabit dalam produksi milik keluarganya, Comm 2000 di Singapura pada
2001.
“Ketika itu saya baru berusia 19 tahun dan bekerja sebagai jurusolek artis termasuk untuk kesan khas dalam produksi terbabit.
“Aaron pula baru berusia 25 tahun dan berlakon dalam drama bahasa
Inggeris pertamanya iaitu War Diary terbitan produksi yang turut
dibintangi pelakon Cina, Tay Ping Hui,” katanya.
Kata Diyana, dia juga tidak menyangka akan jatuh cinta pada Aaron, sekali gus menjadi isterinya hari ini.
“Ketika mula-mula melihat wajah Aaron, saya sempat bergosip dengan
sepupu kerana dia antara pelakon baru yang kacak dalam senarai uji bakat
untuk drama berkenaan.
“Saya memang tidak ada perasaan pun padanya dan turut mempersendakan
nama Aaron kerana ingatkan dia menggunakan nama komersialnya itu untuk
berlakon.
“Namun, sangkaan saya meleset apabila dapat tahu itu nama sebenarnya
selepas melihat nama Aaron memang tercatat dalam salinan kad
pengenalannya,” katanya.
Kata Diyana, dia mula berbual dengan Aaron selepas mereka terbabit dengan penggambaran di Pulau Ubin, Singapura.
“Saya menjadi pembantu jurusolek kesan khas untuk projek berkenaan
dan kami sama-sama balik menaiki bas selepas tamat penggambaran drama
berkenaan.
“Aaron yang mula menegur saya terlebih dulu tapi sebenarnya dia seorang yang pendiam.
“Saya pula seorang yang banyak cakap dan memang ‘happy go lucky’.
“Namun, hubungan kami terputus selepas projek berkenaan selesai,” katanya.
Bagaimanapun, selepas sembilan bulan kemudian, Diyana berkata, dia
bertemu semula dengan Aaron dalam satu projek baru terbitan produksi.
“Memang sudah jodoh kerana kami bertemu semula selepas dia putus tunang dan saya pula baru putus cinta ketika itu.
“Saya terus jatuh cinta dengannya kerana dia banyak membimbing dari
segi agama. Mungkin sebab perbezaan usia kami jauh iaitu enam tahun.
“Aaron juga boleh bercakap dua hingga tiga jam dalam bab agama.
“Saya masih ingat lagi, hati tersentuh dan percaya dialah calon
suami terbaik sebaik saja mendengarnya membaca ayat suci al-Quran
selepas solat Maghrib ketika dia membawa saya untuk bertemu dengan
ibunya sebelum ini,” katanya.
Aaron lamar Diyana di pentas
Sebagai isteri, Diyana sukar melupakan detik terindah ketika Aaron
melamarnya pada majlis anugerah Artis Paling Popular sempena Pesta
Perdana di Singapura pada 2003.
“Aaron buat ucapan kemenangan yang ditujukan khas buat saya, sekali
gus membuat pengumuman saya adalah bakal isterinya pada majlis itu.
“Kami juga memutuskan untuk berkahwin pada 3 Ogos 2003 di Pasir Ris, Singapura” katanya.
Apapun, kata Diana, dia sangat bersyukur kerana rumah tangga mereka tidak goyah dan terus bertahan sampai hari ini.
“Bukan sedikit ujian yang perlu ditempuhi dalam memastikan rumah tangga kami terus utuh.
“Pada peringkat awal, saya mengalami kejutan budaya dan cemburu apabila suami dikelilingi artis wanita.
“Apa yang penting, kami juga saling percaya antara satu sama lain.
“Aaron juga tidak pernah berahsia dengan saya. Sebaik saja sampai di
rumah, dia tidak akan menjawab sebarang panggilan telefon dan segala
urusan berkaitan karier seni diserahkan pada saya.
“Namun, pengalaman empat tahun terbabit dalam kerja belakang tabir
produksi banyak membantu saya mengendalikan apa saja cabaran yang datang
termasuk kontroversi yang melanda dirinya,” katanya.
Sebagai bapa, kata Diyana, Aaron bukan saja seorang yang penyayang, malah sangat melindungi keluarganya.
“Orang boleh cakap dia macam-macam tapi jangan sentuh atau mengganggu kehidupan isteri dan anak-anaknya,” katanya. - Sumber Harian Metro