-
Izzul & Sue, duo berbakat serba boleh!
KONSEP duo tidak banyak dibawa oleh penyanyi Malaysia,
apatah lagi lambakan penyanyi daripada pelbagai medium hari ini umpama
cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Pun begitu, ia tidak menjadi masalah buat dua anak muda yang bernaung
di bawah label duo indie, Izzul & Sue, untuk memperjuangkan muzik
yang sepenuhnya digarap sendiri, dari segi gubahan lagu, penulisan lirik
serta petikan gitar secara akustik.
Mereka terdiri daripada Izzul Syafiq Mazlan, 22, penuntut tahun akhir
jurusan Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, serta
Tengku Suhaila Tengku Asmadi, 22, mahasiswi jurusan English for
Professional Communication Akademi Pengajian Bahasa tahun akhir dari
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Uniknya, duo ini menekankan konsep muzik dari hati, iaitu mahu
lagu-lagu yang disampaikan mereka mempunyai jiwa dan perasaan melalui
genre soul, blues dan akustik.
Bukan sahaja berkebolehan bermain gitar, Izzul & Sue juga memiliki
vokal yang unik dan mampu meremangkan bulu roma pendengar melalui suara
dan lagu mereka.
Mula menyanyi bersama sejak zaman asasi mereka di UiTM, duo ini aktif
membuat persembahan sekitar Lembah Klang serta pernah terlibat dalam
persembahan sama dengan penyanyi hebat, Ana Raffali, suatu ketika
dahulu.
"Sebelum tertubuhnya Izzul & Sue, kami menyanyi dan hasilkan muzik
sendiri secara berasingan, tapi selalu buat persembahan bersama.
"Kami pentingkan jiwa dalam setiap lagu yang kami buat dan kualiti
bunyi bila kami main muzik secara langsung. Harapan kami, untuk
mantapkan penulisan lagu dan rakaman, seterusnya beri nafas baru untuk
industri muzik kita," jelas Izzul yang telah mula mencipta lagu seawal
usia 16 tahun lagi.
Suhaila yang turut bermain gitar pada usia remaja seperti rakan duonya
menyatakan, mereka tidak mendapat tunjuk ajar atau kelas formal dalam
mempelajari alat muzik itu, tetapi belajar sendiri atas dasar minat yang
begitu mendalam terhadap muzik.
"Saya banyak dengar lagu-lagu berbahasa Inggeris daripada penyanyi
antarabangsa. Tapi kebelakangan ini saya selalu dengar lagu tempatan
untuk variasikan pengaruh agar boleh hasilkan muzik sendiri dengan lebih
baik.
"Bagi saya, kena ikhlas dalam buat apa kita suka. Saya dan Izzul
masing-masing cintakan muzik dan tak kisah perjuangkannya tanpa bantuan
sesiapa, asalkan kami dapat kongsi hasil seni kami dengan orang ramai,"
katanya.
SoundCloud medan saluran
Jika kebanyakan penyanyi indie gemar memilih YouTube sebagai medium
menyalurkan bakat, lain ceritanya dengan Izzul & Sue yang meletakkan
lagu-lagu mereka di laman SoundCloud untuk diperdengarkan kepada
masyarakat seantero dunia.
"Bagi saya, laman SoundCloud memang spesifik untuk muzik. Jadi,
penggemar-penggemar muzik lebih sinonim dengan SoundCloud berbanding
YouTube.
"Kami ada juga rakam lagu dan letak di akaun YouTube masing-masing,
tapi itu bukan medium utama Izzul & Sue. Walaupun orang kata di
YouTube lebih senang nak dikomersialkan, tapi bukan populariti yang kami
kejar, sebaliknya muzik yang berkualiti untuk pilihan para pencinta
muzik," jelas Izzul.
Hasil produk EP
Sebelum ini, Izzul pernah mengeluarkan kompilasi lagu-lagu ciptaannya
melalui sebuah Extended Play (EP) yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan
modal dan tenaga kerja sendiri berjudul Midnight pada tahun 2012.
Menerusi Midnight, dia bekerjasama dengan Suhaila dalam lagu Night
Waltz dan mendapat sambutan hangat pendengar EP yang terjual ratusan
unit di seluruh negara itu.
"Masa tu saya sekadar saja-saja jamming dengan Izzul, tiba-tiba dapat
idea untuk tulis lagu Night Waltz. Alhamdulillah, ramai orang suka lagu
tu dan ia menjadi semangat untuk kami terus hasilkan lagu bersama," kata
Suhaila.
Produk terbaharu Izzul & Sue adalah CD kompilasi lagu-lagu tema
teater Saksi Terakhir yang dibawakan oleh Anomalist Production, turut
dimuatkan lagu ciptaan kolaborasi mereka yang berjudul Neon.
Mereka juga bakal mengeluarkan sebuah lagi EP bertajuk IZZUL & SUE
pada November ini dengan konsep minimalistik, bertujuan untuk
memperkenalkan muzik segar dan 'mentah' tanpa melalui banyak proses
suntingan dan perfection, berbeza dengan kebanyakan pemuzik-pemuzik
lain.
Dalam pada itu, hasil seni muzik mereka boleh diperdengarkan dengan
melayari https://soundcloud.com/izzulandsue serta boleh dihubungi
melalui Twitter dan Instagram izzulandsue bagi tujuan mendapatkan EP
atau undangan persembahan. - Sumber Sinar Harian