PETALING JAYA: Baru tiga hari
dunia hiburan dikejutkan dengan kematian seniman Datuk Mustapha Maarof,
kini ibu mertua pelakon itu Seniwati Neng Yatimah pula berada dalam
keadaan kritikal akibat terkena strok ketika pulang menziarahi kematian
menantunya.
Cucunya Mohd. Rezainudden, 38, berkata, Neng Yatimah, 91, ditempatkan di
Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura sejak Rabu
dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan sahaja ketika ini.
"Nenek saya diserang strok ketika sampai di Johor Baharu dari Kuala
Lumpur petang semalam (Rabu) ketika pulang menziarahi kematian arwah
ayah. Nenek kemudiannya terus dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Phuat
pada malam semalam juga.
"Dia kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan saya dimaklumkan
dia hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Khamis.
Tambah Mohd. Rezainudden, doktor turut memaklumkan bahawa seniwati
tersebut juga dikesan menghidap penyakit kanser usus pada tahap serius.
Dalam pada itu, Rezainuddin berkata, neneknya itu berada dalam keadaan sihat sepanjang berada di Kuala Lumpur.
Gambar kenangan Neng Yatimah bersama menantunya, Datuk Mustapha Maarof.
"Dia datang pada upacara pengebumian tetapi tidak dapat jumpa jenazah,
namun dia bermalam selama dua hari bagi menghadiri majlis tahlil arwah.
"Ketika berada di sini selama dua hari kesihatan dia baik dan hanya batuk-batuk biasa sahaja," ujarnya.
Jelas Rezainuddin, dia masih belum berkempatan untuk menziarahi neneknya
itu kerana menguruskan beberapa hal berkaitan kematian bapanya yang
belum selesai.
Neng Yatimah atau nama sebenarnya Buntat Ahmad merupakan seorang
seniwati filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal sebagai
seorang pelakon air mata.
Filem-filem lakonan beliau antaranya
Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing dan
Rachun Dunia.
Pada tahun 2007, beliu turut menerima anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 (1997).
Anak beliau iaitu Roseyatimah telah meninggal dunia akibat kanser
payudara pada 1987 dan pada isnin lalu, menantunya pula, Mustapha Maarof
mengehembuskan nafas terakhir akibat jangkitan paru-paru.
Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.