Menjadi kebiasaan setiap kali tiba Ramadan, Nur Fazura Sharifuddin
gemar berbuka dan bersahur bersama keluarga di rumah. Baginya, lebih
berbaloi menikmati juadah air tangan ibunya daripada makan di luar.
Hari ini adalah hari pertama umat Islam berpuasa dan sepanjang bulan
ini, Selebriti Metro Ahad akan meninjau cerita artis bersahur dan
berbuka puasa, dengan Fazura menjadi pembuka tirai ruangan ini.
Kata Fazura, dia terbang ke Bangkok, Thailand pada Khamis lalu dan
pulang semalam semata-mata tidak mahu ‘tercicir’ menikmati juadah sahur
pertama dengan keluarga.
“Sahur penting bagi saya. Dari kecil saya diajar bangun sahur. Saya
jarang makan di luar sebab bagi saya, makan di rumah bersama keluarga
lebih seronok.
FAZURA
“Lebih bermakna kali ini saya ada anak saudara, Adelia. Walaupun
tinggal berasingan, harap kami dapat selalu bersahur dan berbuka
sama-sama,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai juadah pilihan untuk bersahur, Fazura
nyata tidak memilih. Katanya, cukup hanya dengan ikan dan telur goreng
dinikmati bersama nasi panas. Itu sudah cukup menyelerakan baginya.
“Biasanya saya dan mama akan panaskan semula lebihan juadah berbuka.
Kalau habis, kami akan masak hidangan ringkas seperti ikan atau telur
goreng dan sayur.
“Paling saya suka kalau ada ikan tenggiri masin. Itu pelengkap
segala makanan. Orang dulu-dulu cakap, siapa kahwin dengan saya jimat
sebab saya ringkas bab makan. Nasi kosong dengan ikan tenggiri masin
goreng dah cukup,” katanya riang.
Kenangan bersahur paling indah bagi Fazura ketika arwah bapanya
masih hidup. Bapanya bukan suami dan bapa cerewet. Apa yang dihidang
akan dimakan dengan berselera.
Ketika menikmati juadah, bapanya suka berborak panjang sambil bertanya perkembangan anak.
“Papa orangnya ringkas macam saya. Papa tak minta dimasakkan itu
ini, apa mama sediakan, dia akan makan. Dia suka semua masakan pedas,
lebih-lebih lagi patin masak tempoyak.
“Walaupun papa sudah tiada, saya bertuah kerana masih ada mama dan
adik-beradik. Keluarga jadi keutamaan saya dan merekalah kebahagiaan
saya,” katanya yang akan ke London atas urusan kerja dalam waktu
terdekat.
Fazura juga dipilih memegang watak utama filem terbaru arahan Osman
Ali, Langit Cinta yang akan memulakan penggambaran selepas Aidilfitri.
Anak jati Pekan, Pahang ini teruja diberi peluang menghidupkan
gadis kampung bernama Khadija. Katanya, bukan tidak pernah bawa watak
gadis kampung, tetapi kali ini dapat rasakan betul-betul seperti orang
kampung.
“Kalau ikut penjelasan abang Osman, dalam filem ini saya langsung
tak bersiap. Sudah lama saya teringin watak comot, tak payah bersolek,”
katanya yang akan terbabit dengan satu lagi filem.
Selain itu Fazura akan memperkenalkan lima koleksi terhad raya House
of Doll buat kali pertama. Lima rekaan itu yang diberi nama Lovelia,
Dasia, Irys, Callina dan Viioletta diinspirasikan daripada bunga-bungaan
yang melambangkan kelembutan wanita Melayu.
Koleksi istimewa rekaannya ada di butik House of Doll pada minggu pertama Ramadan. - Sumber MyMetro