Pelabuhan Klang: Perairan Banting dan Sepang terus menjadi pilihan
kegiatan penyusupan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) warga
Indonesia yang mahu pulang menyambut Aidilfitri di negara mereka, hujung
bulan ini.
Kedua-dua perairan ini dikatakan antara pilihan tekong memandangkan
jarak perjalanan menuju ke Indonesia seperti Pulau Rupat dan Dumai di
Sumatera dengan hanya dua jam perjalanan menggunakan bot laju.
Terbaru,
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang
menahan 30 warga Indonesia masing-masing 23 lelaki, lima wanita, seorang
kanak-kanak lelaki dan seorang bayi perempuan awal pagi semalam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Kapten Mohd Aliyas Hamdan
berkata, pihaknya menahan sebuah bot gentian kaca yang dinaiki warga
asing terbabit selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan jam 5.30
pagi.
Katanya, bot berkenaan ditahan tiga batu nautika
berhampiran Sungai Air Hitam, Kelanang, dekat Banting oleh sepasukan
anggota APMM yang menjalankan Op Tumpas.
Beliau berkata, semua
yang ditahan berusia antara 10 bulan dan 42 tahun berhimpit di dalam
bot berkenaan tanpa menggunakan jaket keselamatan.
SEBAHAGIAN pati yang ditahan dalam Op Tumpas.
Katanya, sebelum ditahan, Sistem Pengawasan Laut Maritim mengesan
sebuah bot masuk ke kawasan perairan negara dalam keadaan mencurigakan
jam 12.30 tengah malam semalam sebelum pihaknya membuat intipan dan
risikan.
Menurutnya, bot yang dipenuhi penumpang itu dikesan
pihak berkuasa ketika cuba keluar dari perairan negara dan menuju ke
perairan antarabangsa lima jam kemudian.
“Siasatan awal mendapati warga asing terbabit perlu membayar RM700
hingga RM1,500 seorang kepada sindiket tertentu untuk ke Pulau Rupat,
Indonesia dan diletakkan di lokasi tertentu sekitar Banting sebelum
sebuah bot gentian kaca membawa mereka ke negara jiran.
“Siasatan
mendapati ada di antara warga asing yang ditahan mempunyai pasport,
namun kebanyakan nya sudah tamat visa bekerja mahu pun tidak
memperbaharui permit kerja masing-masing menyebabkan mereka tidak boleh
keluar menggunakan laluan sah,” katanya dalam sidang media, di sini,
semalam.
Menurutnya, semua yang ditahan untuk sementara waktu
bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen
5(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti
Penyeludupan Migran 2007.
Tekong bot yang ditemui semalam
mendedahkan, dia menerima bayaran RM300 untuk satu perjalanan membawa
warga asing masuk ke Indonesia.
Lelaki berusia 32 tahun itu
berkata, walaupun menyedari risiko yang perlu dihadapinya, namun upah
yang tinggi menyebabkan dia sanggup menyabung nyawanya dan penumpang
dengan merentas Selat Melaka.
“Saya kerja kampung saja di
Pulau Rupat. Gaji di sana (Indonesia) tidak besar menyebabkan saya perlu
bekerja sebagai tekong untuk membawa pendatang pulang ke Indonesia.
Saya hanya menerima upah daripada tauke selepas semua kerja selesai,”
katanya.
Penumpang yang dikenali sebagai Rosmaini, 42,
berkata, dia bersama anak lelakinya berusia enam tahun menyabung nyawa
menaiki bot walaupun mengetahui nasib menimpa rakan senegaranya yang
karam bulan lalu di perairan sama.
“Saya tiada pilihan kerana
permit kerja saya sudah tamat tempoh. Saya perlu membayar RM3,100 untuk
memperbaharuinya dan saya tidak mempunyai duit sebanyak itu. Mahu tidak
mahu saya menaiki bot kerana mahu menyambut Hari Raya bersama suami dan
dua lagi anak di Padang, Indonesia,” katanya.