Neelofa Bertarawikh Di Masjid Putrajaya Setiap Malam Nak Dengar Ceramah Mufti Menk






Foto 
NEELOFA bersama Natasha Hudson anggap Ramadan sebagai ujian dan cabaran.

Assalamualaikum semua. Selamat datang Ramadan Al-Kareem! Hari ini hari pertama kita umat Islam di Malaysia menunaikan puasa.
Kebetulan pula, demam Piala Dunia masih rancak, pasti ada yang alang-alang tengok bola tu, terus berjaga sampai ke waktu sahur. Semangat tau.


Lofa lebih selesa memilih minum air campuran kurma, madu, kismis dan susu. Barulah bertenaga sepanjang hari. Berbuka baru nak makan berat.

Tengok pelbagai lagak dan ragam orang ramai menyambut kedatangan Ramadan, pasti Lofa teringat waktu zaman kanak-kanak Lofa. Zaman Lofa mula diperkenalkan pengertian puasa, apa itu Tarawih dan zaman Lofa belajar berpuasa penuh.

Pasti semua orang pernah melalui fasa yang Lofa sebut tadi, bukan? Lofa ingat lagi, waktu kecil, Lofa ingat puasa ini aktiviti orang dewasa saja, jadi Lofa yang kecil tak perlu berpuasa.

Hari pertama berpuasa adalah hari paling Lofa sangat tak dapat lupakan! Lofa ni memang ‘hantu makan’ sejak kecil. Bayangkan, satu hari bangun saja dari tidur, terus pergi dapur dan buka tudung saji tapi tiada makanan disediakan.

Kecoh juga satu rumah waktu itu. Rupa-rupanya Lofa lupa hari itu hari pertama berpuasa. Kiranya waktu itu hari pertama puasa ialah hari terpanjang dalam hidup Lofa.

Sebaik dengar azan Maghrib, bukan main laju Lofa terkam makanan yang mama masak sampaikan kena marah. Sudahnya, dah terlalu kenyang, Tarawih pun terlepas sebab dah tertidur.

Kenang balik memang kelakar. Itu belum lagi cerita Lofa tak ba­ngun bersahur. Kalau nak dikongsikan, memang tak habis.

Anda setuju tak kalau waktu Ramadan tiba-tiba kita rasa masa berputar sangat perlahan dan makanan yang kita tak suka makan, tiba-tiba nampak sedap semacam. Padahal dulu tak pernah pun teringin makan. Itu yang Lofa belajar mengenai dugaan.

Seperkara lagi, ramai ingat berpuasa ini sekadar menahan lapar tetapi pengertian puasa sebenar­nya sangat luas skopnya. Selain berpuasa menahan lapar dahaga, kita perlu menjaga keperibadian secara menyeluruh.

Kalau dulu main hentam kromo saja bila bertutur, dalam bulan puasa, kalau boleh, belajarlah cakap benda berfaedah. Cakap pun sopan-sopan saja. Kalau nak berpakaian pula, pilih yang berse­suaian.

Semua ini bagi menghormati kesucian Ramadan itu sendiri. Ang­gaplah Ramadan sebagai medan ujian dan cabaran untuk kita. Mana tahu, kita akan bertemu sinar hidayah dalam Ramadan? Insya-Allah.

Menyentuh pasal menghormati, Alhamdulillah untuk Ramadan kali ini, Lofa berjanji untuk me­ngurangkan aktiviti seni Lofa. Yang ada pun hanya komitmen dengan Meletop memandangkan ranca­ngan itu disiarkan secara langsung.

Untuk aktiviti seni lain, memang Lofa tolak sepenuhnya. Bukan apa, bagi Lofa, Ramadan bulan terbaik untuk kita bersama keluarga selain beribadat.

Selain kurangkan aktiviti seni, Lofa ada lagi dua azam yang harap sangat dapat dipenuhi. Pertama, nak berbuka di rumah bersama keluarga sekerap mungkin sepanjang Ramadan. Lofa sebenarnya malas sangat berbuka di luar. Paling kuat pun, pergi bazar Ramadan, beli kuih saja.

Kedua, nak cuba sebanyak mungkin bertarawih di Masjid Putrajaya. Kenapa Masjid Putrajaya? Sebab Lofa difahamkan, tahun ini Tarawih di Masjid Putrajaya di­imamkan Mufti Menk. Beliau juga bakal menyampaikan ceramah sebaik selesai solat Tarawih.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Lofa memang sangat me­ngagumi Mufti Menk. Pasti peluang yang ada ini tak akan Lofa lepaskan.

Seperkara yang Lofa nak kongsi dengan pembaca semua, insya-Allah sepanjang Ramadan ini, Lofa dan Neelofa Team akan bergiat dengan lebih aktif dengan perniagaan diusahakan. Memandangkan tak sibuk sangat, Lofa merancang menyertai pelbagai bazar dan festival.

Lofa rasa ini peluang terbaik untuk lepak dan bersantai bersama peminat dan pembeli yang selama ini menyokong Lofa. Bazar mana yang akan Lofa sertai? Ha, itu anda semua perlu sentiasa peka dengan pengumuman di laman sosial Lofa, barulah ‘surprise’.

Rasanya macam banyak sangat Lofa membebel pasal bulan puasa. Bukan apa, teruja sangat. Tambah pula kebetulan Lofa ada ruangan Nota Neelofa, lagi menjadilah keterujaanya. Kalau boleh, semua nak dikongsi.

Alang-alang ada kesempatan ini, Lofa nak minta tolong boleh? Boleh tak anda semua cadangkan makanan atau bazar yang Lofa patut cuba pergi?

Yalah, nak juga rasakan suasana kemeriahan bazar di tempat anda. Nanti tweet-tweet Lofa tau!

Sehingga bertemu lagi, sebarkan rasa cinta. - Sumber Harian Metro