RUMAH tangga mana yang tidak pernah dilanda badai?
Tidak kiralah seseorang itu orang biasa, golongan atasan mahupun
selebriti, mereka pasti pernah melalui liku-liku sukar dalam kehidupan
berumah tangga.
Jika dugaan itu lebih kepada kewangan dan sara hidup, mungkin perkara
itu tidak serumit kehadiran orang ketiga yang boleh memusnahkan
kepercayaan terhadap pasangan.
Namun, apa yang berlaku kepada pelakon cantik, Ayu Raudhah, wajar
dijadikan contoh wanita masa kini yang tidak mudah melatah apabila
'dijentik'.
Sejak kebelakangan ini, ramai yang mula memperkatakan mengenai rumah
tangga pelakon ini bersama suami, Zaquan Adha, yang goyah ekoran pihak
ketiga.
Bukan sahaja disertakan dengan keratan perbualan suaminya di laman
aplikasi, WeChat, bersama wanita-wanita lain, malah ada yang tampil
mengemukakan bukti resit hotel atas nama pemain bola ini.
Meskipun diduga saat dirinya masih berada dalam tempoh berpantang anak
kedua, Muhammad Aisy Aryann, Ayu tidak menjadikan perkara itu sebagai
sebab untuk bersangka buruk terhadap suami.
Malah, adik kepada pelakon seksi, Rozita Che Wan, ini lebih selesa
mengunci mulut daripada memberi kenyataan demi kenyataan yang boleh
memburukkan keadaan.
Namun, sebelum ini, Ayu membuat penafian sekeras-kerasnya terhadap
dakwaan yang dilempar terhadap Zaquan, sekali gus menyebelahi suaminya.
Menerusi laman sosial, Instagram, Ayu sekali lagi memberi penjelasan mengenai perkara itu.
"Alhamdulillah, I sentiasa bersyukur bersuamikan Mohamad Zaquan Adha.. No matter what people said!
"I percaya apa Allah berikan adalah yang terbaik untuk kita sama ada dugaan atau nikmat kebahagiaan..
"Semoga Allah memberi kita kekuatan menghadapi segala dugaan-Nya dan
bersyukur dgn segala nikmat kebahagiaan yg Allah berikan. Amin ya
robbala’lamin..," tulisnya lagi.
Ayu dan Zaquan bernikah pada 20 Januari 2011. Hasil perkahwinan itu,
mereka dikurniakan dua anak lelaki Muhammad Aisy Qaiser, 1, dan Muhammad
Aisy Aryann, sebulan.
Bercuti di Singapura?
Dakwaan mengenai kecurangan Zaquan, 27, nyata tidak menggugat kasih sayang Ayu terhadap suaminya itu.
Malah, ketika dihubungi Zass, Ayu turut memberitahu bahawa mereka kini berada di Singapura.
Pun begitu, Ayu tidak memberitahu aktiviti di sana, namun berdasarkan
foto yang dikirim di Instagram, mereka seperti sedang bercuti.
Ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengambil pusing mengenai dakwaan
berkenaan dan menikmati hari-hari bersama tanpa memikirkan perkara itu.
Malah, sebelum ini, Ayu pernah memberitahu, kemungkinan besar ada pihak yang sengaja mahu memusnahkan rumah tangga mereka.