
Dengan objektif memperluaskan pasaran diperingkat domestik dan
antarabangsa khususnya penerbitan produk-produk animasi 2D dan 3D bagi
kanak-kanak; Kumpulan Syarikat KRU mengumumkan penubuhan Kartun Studios
Sdn Bhd, anak syarikat ke sebelasnya yang dilancarkan oleh YB Dato’ Sri
Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi & Multimedia Malaysia.
“Untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi,
pembangunan berterusan dan bersepadu sektor Komunikasi, Kandungan dan
Infrastruktur adalah amat penting. Oleh yang demikian pelbagai inisiatif
telah dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk rebat penerbitan 30% yang
ditawarkan oleh FINAS bagi menggalakkan pelaburan penerbitan kandungan
tempatan dan antarabangsa, penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi,
penyediaan rangkaian televisyen digital menjelang 2015 dan pelbagai
insiatif yang lain. Saya gembira melihat usaha Kumpulan Syarikat KRU
yang bukan saja mempunyai pelan strategik bagi pemasaran produk-produk
terbitan mereka diperingkat tempatan dan antarabangsa melalui penubuhan
Kartun Studios, tetapi turut juga melatih anak-anak tempatan sebagai
modal insan berkemahiran tinggi di KRU Academy” ujar Dato’ Sri Ahmad
Shabery Cheek.

Menurut Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat
KRU; penubuhan Kartun Studios bukan saja bertujuan untuk mengkhususkan
inisiatif penjenamaan bagi filem-filem serta kandungan siri animasi
terbitannya tetapi adalah strategi korporat dan persediaan awal untuk
menarik pelabur diperingkat tempatan dan antarabangsa sekaligus
memperkasakan kedudukan Kartun Studios didalam tempoh 3 hingga 5 tahun
yang akan datang.
“Produk-produk animasi 2D dan 3D memberi prospek terbaik bagi
studio-studio tempatan untuk menjadi pemain global. Contohnya, filem
Ribbit (filem animasi pertama terbitan KRU) telah mendapat tempahan
lebih 80 buah negara dan telah menerima jemputan untuk ditayangkan
sebagai World Premiere di Niagara Integrated Film Festival, Canada pada
21hb Jun 2014. Kartun Studios akan menghasilkan sekurang-kurangnya 3
buah filem animasi, 130 siri animasi 3D dan 130 siri animasi 2D didalam
tempoh 5 tahun yang akan datang” ujar Norman.

Kartun Studios juga mensasar menyediakan sejumlah 1,000 peluang
pekerjaan baru bagi penerbitan animasi 2D dan 3D menjelang tahun 2020.
Kini di KRU Academy, seramai 200 pelajar sedang mengikuti program
Diploma Kemahiran Malaysia yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. KRU Academy bakal
menerima sekitar 300 pelajar baru didalam tempoh 1 tahun yang akan
datang dan menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran yang dinamakan
sebagai “Kreatif X Press” di sekolah-sekolah menengah bagi memberi
pendedahan kepada murid serta ibubapa tentang peluang-peluang
pendidikan, pekerjaan dan perniagaan didalam Industri Kreatif.
Untuk maklumat lanjut, sila emel ke
hr@kartunstudios.com bagi peluang-peluang pekerjaan di Kartun Studios dan
enquiries@kruacademy.edu.my bagi menyertai kursus-kursus peringkat diploma dan sijil di KRU Academy. - Info Selebriti Online