Jasmin ketika ditemui bagaimanapun mengakui dia tidak pernah
menyangka kemenangannya dan kehadiran di majlis itu pun kerana
kelapangan masa dan atas undangan penganjur.
“Saya datang ke majlis ALW ini bukan atas tiket kemenangan, tetapi disebabkan
kelapangan masa yang ada dan amat menghargai undangan daripada Astro.
“Apatah
lagi, nama saya juga dicalonkan untuk kategori yang dimenangi ini dan
rasanya berbaloi jugalah dapat hadir ke majlis ALW seterusnya naik ke
pentas menerima trofi kemenangan,” katanya.
Menyentuh soal
dirinya yang lebih kerap muncul membintangi drama berbanding filem,
Jasmin berkata, dia sememangnya lebih selesa berlakon drama daripada
beraksi di layar perak.
“Bukan saya tidak menerima tawaran
berlakon filem, tetapi setakat ini saya sangat sibuk dengan jadual
penggambaran drama. Lagi pun, saya lebih seronok berlakon drama kerana
komitmennya tak terlalu besar.
“Ditambah lagi, tempoh
penggambaran drama juga tidaklah terlalu lama,” katanya memaklumkan dia
juga memilih watak pada setiap drama yang akan dibintanginya.
Berbicara
mengenai lakonannya untuk watak komedi, Jasmin berkata, dia seorang
yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan tawaran lakonan diterimanya
termasuklah watak komedi.
Katanya, walaupun melakonkan watak
komedi, tetapi Jasmin akan memastikan lakonannya dipelbagaikan serta
tiada dialog berunsur lucah atau bermaksud tersirat.
Sangat
dikenali ramai menerusi watak komedi seperti Minah Senget dan Datin Wan
Abe yang pernah dilakonkannya, Jasmin berkata, kini dia menyimpan hasrat
suatu hari nanti akan memperoleh kemenangan anugerah selain komedi.