"Setakat hari ini, tak ada apa-apa pun perkara yang dibangkit melibatkan kedudukan saya," kata Muhyiddin.
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari
ini berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selagi khidmatnya
diperlukan.
"Setakat hari ini, tak ada apa-apa pun perkara yang dibangkit melibatkan kedudukan saya," kata beliau.
Semalam, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin
berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan UMNO.
Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin
dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin
daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan.
"Rombakan Kabinet adalah hak perdana menteri. Kemungkinan akan berlaku
sebab beliau dah nyatakan akan bawa masuk beberapa pemimpin parti
politik dari MCA dan Gerakan," katanya kepada pemberita selepas menutup
Persidangan Antarabangsa Majlis Sains Asia Ke-14 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata
khabar angin itu mungkin timbul berikutan hubungan baik beliau dalam
kerajaan khususnya dengan Perdana Menteri, selain tidak menolak
ekploitasi sesetengah pihak terhadap kedudukan kerajaan yang bertambah
kukuh selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas.
"Kedudukan
saya terserah kepada beliau (perdana menteri), tapi selama masa saya
berada dalam Kabinet, beliau dah biasa berbincang dengan saya,"katanya.
Menurutnya hubungan baik antara beliau dan Perdana Menteri juga membolehkan apa-apa perbincangan dilakukan dari hati ke hati.
"Kalau ada apa-apa berkaitan masa depan saya pun, saya akan bincang dengan Perdana Menteri juga," katanya.
Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan semua pihak mengenai pentingnya
kestabilan parti dan kerajaan yang akan menjurus kepada kestabilan
negara.
"Kestabilan negara bergantung kepada keupayaan kita
untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh, dan apa juga spekulasi tidak
boleh membawa kesan buruk kepada mana-mana pihak.
"Bagi saya
keutuhan kerajaan dan kekukuhan Umno dan BN itu yang utama. Jangan
mereka salah baca, kononnya boleh berjaya cetuskan keadaan tidak menentu
untuk eksploitasi keadaan," katanya.
Justeru, Muhyiddin
meminta semua pihak khususnya anggota Umno dan BN untuk memahami tujuan
sebenar di sebalik khabar angin yang ditimbulkan itu.
"Mungkin
sebab sengaja nak timbulkan spekulasi supaya wujud satu keadaan
ketidakstabilan atau pertembungan puak-puak dalam parti atau kerajaan
saya dengan sesiapa yang lain supaya boleh menangguk di air keruh dan
dapat faedah daripadanya," katanya.
Beliau juga yakin anggota
parti yang mahir dan bijak membaca keadaan politik negara tidak akan
mudah dipengaruhi khabar angin yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab.- :sumber ASTROAWANI