LUMRAH sebagai selebriti, pasti akan punya peminat dan
secara tidak langsung juga akan mendapat beberapa 'haters' atau
pihak-pihak yang tidak menyukai mereka.
Jika sebelum ini, selebriti hanya akan menerima maklum balas-sama ada
daripada peminat atau haters mereka menerusi surat, tapi kecanggihan
teknologi pada masa kini membolehkan peminat atau haters berbual terus
dengan seseorang selebriti itu menerusi laman sosial.
Biarpun ada baiknya teknologi pada masa kini, namun ada pihak
seolah-olah menyalah guna dan sengaja menggunakan laman sosial untuk
menarik perhatian ramai.
Terbaru, seorang pengikut laman sosial Instagram Scha Al Yahya
bertindak biadab meninggalkan komen yang agak keterlaluan buat bekas
juara Dewi Remaja itu.
Dek kerana tindakan biadab itu, suami Scha yang juga pengacara dan
pelakon, Awal Ashaari berang dan membalas balik dengan memuat naik
gambar wanita tersebut di Instagram.
Menafikan dirinya seorang yang cepat melenting, Awal berkata,
tindakannya memuat naik gambar wanita tersebut hanya kerana mahu
'mengajar' orang yang biadab.
"Kalau ikutkan Scha, dia memang mahu biarkan saja dan dia tidak beri
apa-apa reaksi daripada komen yang ditinggalkan wanita itu.
"Tapi bagi saya orang biadab, perlu diajar. Sebagai seorang manusia,
yang hidup dalam masyarakat, kita kena belajar untuk hormati orang
lain," ujar Awal.
Ditebak mengenai reaksi wanita itu, sebaik Awal memuat naik gambarnya
di Instagram, Awal berkata, wanita itu hanya meninggalkan komen dengan
ucapan terima kasih.
Bahkan jika sesetengah selebriti lebih senang mengambil jalan menyekat
haters mereka di Instagram, lain pula dengan pengacara Melodi ini.
"Saya tak mahu sekat dia, kalau saya sekat dia, nanti dia tak boleh
baca pula kalau ada komen peminat dia. Dia sukakan publisiti, jadi saya
beri publisiti yang sepatutnya kepada dia," katanya.
Sibuk buat persiapan
Sementara itu, berkongsi perkembangan terbarunya, Awal berkata, dia
kini hanya memberi tumpuan terhadap bidang pengacaraan dan terpaksa
menolak beberapa tawaran lakonan.
"Saya kini sibuk buat persiapan kelahiran anak saya akhir Julai ini dan masih dalam proses menyiapkan serta menghias bilik.
"Jadi untuk sementara waktu, saya terpaksa menolak tawaran berlakon dan
hanya beri perhatian kepada tugas pengacaraan sahaja. Dalam masa yang
sama juga saya mahu memberi tumpuan kepada perniagaan saya yang masih
lagi dalam perancangan," ujarnya.