KUALA LUMPUR: Kumpulan Indie iaitu Hujan yang bakal
beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada acara DFP
Seni Fest 2014 pada 20 September ini membuktikan bahawa kumpulan
tersebut masih bersatu.
Vokalisnya, Noh Salleh, 29, berkata, khabar angin sejak tahun lalu yang
mengatakan kesemua ahli kumpulan kini sudah membawa haluan masing-masing
adalah tidak benar sama sekali.
"Dulu lagi saya dengar dan beritahu kami masih bersama, mungkin kerana
saya ada projek bersama kumpulan lain dan cuba bergerak solo ramai yang
menganggap Hujan sudah berpecah.
"Kami tidak ada masalah dan masih terima tawaran mengadakan persembahan
secara bersama, kalau kami sudah berpecah Hujan tidak terima persembahan
di DFP buat kali kedua ini," katanya kepada
mStar Online.
Noh ditemui selepas sidang media Akustik 2, DFP Seni Fest 2014, di Hotel Traders, di sini, Isnin.
Antara artis lain yang terlibat dalam persembahan itu nanti ialah Ning
Baizura, Zainal Abidin, Atilia, David Gomes, Jay Jay, Fredo, Elvira Arul
dan Bunkface.
Persembahan itu bersempena Festival Seni DFP iaitu sebuah pesta keraian
yang menyajikan muzik ekstravaganza dalam perayaan seni dan budaya
bermula 16 September hingga 21 September ini.
Dalam pada itu, Noh berkata, kumpulan tersebut sedang merancang untuk
mengadakan sebuah persembahan khas sempena ulang tahun ke 10 mereka
ditubuhkan tahun depan.
"Insya-Allah tahun depan Hujan sudah berusia 10 tahun, jadi kami sedang
merancang untuk buat aktiviti bagi meraikan ulang tahun itu," ujarnya.
Selain Noh, kumpulan Hujan dianggotai empat lagi anggota, Am, AG Coco, Dimas dan Izzat.
Sementara itu, berkaitan dengan persembahan Akustik 2 ini, Noh merancang
untuk melakukan persembahan akustif secara santai berbanding sebelum
ini.
Katanya, dia akan membawakan empat buah lagu popular kumpulan itu iaitu
Kotak Hati, Bahagia, Bagaikan Matahari dan
Mencari Konklusi.
"Persembahan kali ini berbeza sedikit kerana kami lebih bersahaja dan
santai, kita akan buat kelainan pada embat lagu yang akan dinyanyikan
itu," ujarnya.
Sementara itu, konsert
unplugged bertemakan Akustika ini bakal mempersembahkan lagu-lagu popular yang merangkumi pelbagai genre muzik.
Tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga RM100 dan RM70.
Tempahan juga boleh dibuat menerusi talian 03-2051 7007 atau e-mel
dfp_boxoffice@petronas.com.my atau melayari laman web
www.mpo.com.my - Sumber MSTAR