Serdang: Niat seorang suami pergi ke kuil bagi mendoakan isteri
selamat melahirkan anak sulung berakhir tragedi selepas ditembak mati
dalam kejadian di hadapan sebuah kuil di Jalan Bandar 3, Puchong.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa A Ragan,31, yang
menjalankan perniagaan kedai bunga di Puchong dan Klang itu cedera di
bahagian kepala dan badan.
Anak saudara mangsa, Kalidasan
Parmasivam, 15, berkata ketika kejadian dia, mangsa dan neneknya baru
selesai bersembahyang bagi mendoakan keselamatan isteri mangsa.
Katanya, isteri mangsa yang mengandung anak sulung itu sudah dimasukkan ke wad dan dijangka bersalin esok.
"Ketika kami bertiga berjalan ke arah kereta, saya nampak seorang
lelaki berpakaian serba hitam berlari ke arah pakcik (mangsa) dari arah
belakang.
"Secara tiba-tiba dia melepaskan tembakan yang
mengenai pakcik sebelum dia jatuh dan kesempatan itu digunakan suspek
berjalan ke arahnya sebelum tembak sekali lagi di bahagian kepala dari
jarak dekat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, dia menjerit meminta tolong namum tiada sesiapa berani
mendekati mereka dan dia nampak suspek lelaki itu berlari ke arah lebuh
raya dan menghilangkan diri.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Sumber: Harian Metro