MESRA... Gambargambar ini menyebabkan Izreen Azminda dikutuk peminat.
RAMAI yang mempersoalkan kewajaran Izreen Azminda memuat naik gambar mesra dengan pelakon Amar Baharin baru-baru ini.
Paling terkesan apabila gambar mesra tersebut dipertontonkan semasa
pelakon itu masih lagi dalam tempoh edah selepas disahkan bercerai 9 Jun
lalu.
Tidak menganggap perkara tersebut sebagai satu isu yang perlu
diperbesar-besarkan, Izreen tidak menafikan sama sekali dia seharusnya
menjaga tatasusila sepanjang tempoh edah tersebut.
Namun tegasnya gambar yang dimuat naik itu dibuat atas dasar kerja semata-mata.
"Saya tahu ramai yang mempersoalkan perkara tersebut. Tapi gambar
antara saya dan Amar Baharin hanyalah untuk tujuan promosi drama bersiri
Kerana Terpaksa Aku Relakan yang sedang ditayangkan di kaca televisyen.
"Gambar-gambar itu hanya untuk menarik perhatian peminat untuk
menonton. Tak lebih pun daripada itu. Sebab itu saya anggap apa sahaja
komen negatif peminat tidak menjejaskan apa-apa.
"Mereka kena tahu mengapa saya buat macam itu dan bukannya menghentam semata-mata," jelas Izreen kepada Pancaindera.
Pun begitu Izreen meminta agar peminat tidak melihat gambar tersebut
sebagai sesuatu yang peribadi sebaliknya itu sebahagian antara babak
cinta dalam drama bersiri berkenaan.
Bagi Izreen, meskipun masih dalam tempoh edah dia masih perlu ke
lokasi penggambaran memandangkan itu merupakan sumber rezekinya.
"Saya terikat dengan kontrak tak mungkin saya akan duduk di rumah sepanjang tempoh edah.
"Bagaimanapun penggambaran drama tersebut sudah pun berakhir dan
selepas ini saya boleh kurangkan sedikit aktiviti luar," tegasnya.
Ketika ditanya tentang reaksi peminat terhadap perkara berkenaan,
Izreen tidak menafikan menerima banyak komen-komen negatif daripada
peminat di laman sosial miliknya.
Jauh sekali untuk marah atau berkecil hati dengan perkara itu, dia
mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan menjadikan semua komensama
ada yang positif mahupun negatif sebagai iktibar.
Penceraian
Baru dua tahun bergelar isteri kepada Muhamad Riza Baharuddin akhirnya hubungan mereka itu terputus di tengah jalan.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak bagi Izreen isu cerai tersebut sudah berakhir secara baik awal bulan lalu.
Bagi pelakon ini dia bersyukur kerana kemelut yang melanda dirinya
dan bekas suami sudah berakhir dan lebih menyenangkan apabila
masing-masing tidak menyalahkan antara satu sama lain.
"Dua tahun kami berkahwin dan akhirnya hubungan itu tak dapat
diselamatkan lagi. Saya sebenarnya sedih dengan perpisahan ini tapi
mungkin itu jalan yang terbaik buat kami.
"Mujur ada keluarga yang banyak memberikan sokongan. Apa sahaja yang
berlaku mereka tetap memberikan kata-kata semangat dan tak mahu saya
mengalah dengan perasaan," jelasnya.
Tidak menafikan perasaan kekok untuk kembali hidup sendirian, Izreen
mengakui perlu kuat semangat untuk mengharungi hidup bergelar janda.
Dalam fasa ini dia perlu membuktikan status bukan halangan untuk melakukan yang terbaik kepada dirinya.
Tentang hubungannya dengan bekas suami, Izreen menganggap mereka baik-baik sahaja.
"Saya dan bekas suami masih okey. Kami masih berhubung antara satu
sama lain tetapi hanya kerana anak sahaja. Saya diberi hak penjagaan
anak tetapi dia boleh mengambil anak bila-bila masa sahaja.
"Setakat itu komunikasi kami. Tak lebih daripada itu. Dan saya juga
bersyukur kerana dia masih mengambil berat tentang komitmen penjagaan
anak termasuk membeli barang-barang keperluan," jelasnya.
Kredit: Utusan Melayu (M) Bhd